20120718

Balingan terampuh

Aben ada sebiji bola. Bola itu bapak dia yang beli. Bola itu cantik. Merah berseri warnanya. Setiap hari Aben main dengan bola itu. Dia paling suka kalau main baling-baling bola tu ke arah langit dan menangkapnya kembali.

Satu hari, sedang dia main-main dengan bola tu, abang dia Jaki datang menghampirinya. Jaki tanya, apakah dia tidak bosan asyik main benda yang sama je. Kan bola tu boleh dibuat sepak, tampar dan macam-macam lagi. Bukan hanya terhad untuk baling ke atas sahaja.
"Kau tak bosan ke asyik main lambung-lambung ke atas je? Kau baling macam mana pun, bola tu jatuh ke bawah jugak, ke tanah jugak perginya."
Aben terfikir kata-kata abangnya. Sejak hari itu, dia masih lagi main baling-baling bola tu ke langit, tapi niatnya bukan lagi hendak bermain seperti dulu. Dia bercita-cita untuk baling bola tu tinggi-tinggi ke langit. Biarlah setinggi manapun. Hari ke hari, bola itu semakin tinggi dibalingnya namun dia tetap tak berpuas hati kerana macam mana tinggi pun, bola tu tetap jatuh ke tanah.

Cuba dan cuba, dah lebih 15 tahun dia tak putus asa mencuba, akhirnya sabar Aben sudah mencapai limitasi. Aben bertekad nak minta tolong dengan Wak Tarbus, pawang tersohor di negerinya. Dia pun menapak berpurnama lamanya ke rumah Wak Tarbus. Usai sahaja tiba, terus dia menyatakan hasratnya untuk meminta kuasa supaya dapat baling bola itu sehingga tidak turun hendaknya bola itu. Wak Tarbus tak kata banyak, dia menyalurkan satu tenaga asing ke dalam badan Aben. Aben terasa tangannya itu cukup bertenaga. Dia umpama Badang yang baru dapat kuasa bezanya Badang itu bodoh pergi makan muntah jin. Beberapa keping emas diberikan kepada Wak Tarbus. Makin kayalah member baik syaitan itu.

Kali ini Aben yakin dia akan berjaya dalam misinya itu. Bola sudah berada di tangan. Sepantas kilat tangannya itu menghayun bola itu ke arah langit. Fuhh! Jauh bola itu perginya dan mula seiras dengan kerlipan bintang di malam hari. Aben menjangkakan bola itu mesti ke hujung langit punya sampai dia meninggal baru bola itu jatuh ke tanah.

Memang ye, bola itu tak jatuh ke tanah, tapi dah hancur jadi debu lepas cuba melintas atmosfera bumi dalam halaju yang ultra maksima tinggi, dijangkakan lebih laju dari kelajuan kapal angkasa Apollo pabila turun ke bumi.

***


"Jangan dipaksa perkara yang kita tak mampu buat,
setiap benda ada limitasinya sendiri"

-Cangkul Emas, 2012






mood:kecewa dengan result penerapan la beb.

20120707

Bukusipedia: Sunan Musafir

Siri keenam dan terakhir trilogi Laksamana Sunan.

Pada mulanya, aku tak tahu langsung yang Trilogi Laksamana Sunan ni dah sampai bahagian terakhirnya. Sebelum ini aku dah habiskan Sutera Bidadari, siri kelima dari trilogi ini tapi tak dengar pula yang Ramlee Awang Murshid akan tulis Sunan Musafir sebagai penamat. Aku tahu pun sebab terserempak masa singgah kedai buku kat Pusat Bandar Pasir Gudang. Nasib baik poket aku tak kering sangat, terus aku beli. Mana boleh tahan tengok depan mata. Macam perempuan tengok beg Gucci lah lebih kurang.

Macam biasa, Ramlee Awang Murshid dah bagi petunjuk-petunjuk jalan cerita novel ini di dalam bab terakhir Sutera Bidadari. Peristiwa di mana Saifudin mendengar bisikan arwah (dipercayai) isterinya, Ratna Sang Ratu Sulaman dan ini telah dijadikan sebagai pengembaraan terakhir Sunan yang perlu untuknya merentas lautan dan benua.

Pada aku, teknik penceritaan yang ditonjolkan oleh Ramlee Awang Murshid pada kali ini lebih seronok dibaca kerana pembaca pasti akan tertanya-tanya akan apa yang berlaku seterusnya. Kalau korang baca ending terus, memang tak akan faham lah. Ia memerlukan anda untuk tidak melepaskan satu pun muka surat di dalam novel ini. Kisah bermula dengan Saifudin yang menggunakan nama gelaran baru, Kiai Kelana dan menetap di pinggir Kampung Punggor bersama anaknya, Anduka. Hidup hanya sebagai seorang imam musolah dan mengabdikan diri kepada tuhan sehinggakan anaknya menganggap Saifudin ini hanya tahu mengaji. Krisis berlaku di antara Saifudin dan pembesar atau barua Portugis di Kampung Punggor, Panglima Deris yang memberi masa selama tiga hari untuk Saifudin menyediakan diri untuk bertempur dengan Harimau Berantai bagi menebus Anduka yang ditahan mereka. Dalam masa tiga hari itulah, Saifudin meluangkan masa bercerita kepada Anduka tentang pengembaraan Panglima Sunan dalam misi menyelamatkan Ratna, isterinya. Anduka tidak pernah tahu bahawa Saifudin itulah Panglima Sunan lantas risau bapanya akan mati ditangan Harimau Berantai. Tidak dilupakan juga, novel ini menampilkan sekali lagi kemunculan watak Haryani dan Dani di abad ke-21 yang kisahnya sudah tamat di siri ketiga trilogi ini, Hijab Sang Pencinta.

Bagi pembaca yang baru belajar untuk membaca trilogi ini, ketahuilah bahawa ini bukanlah trilogi cinta jiwang sangat. Trilogi ini merangkumi hal cinta, ketuhanan(paling penting), mitos, sejarah dan pertarungan epik. Saya sarankan anda baca siri ini dari novel pertamanya, Bagaikan Puteri. Insyaallah anda akan faham jalan cerita epik ini. Saya merasakan novel ini mempunyai reputasi untuk dijadikan sebagai filem seperti mana novel Harry Porter. Pasti akan menjadi sebuah karya yang epik.

Secara jujurnya, saya agak tidak puas hati dengan ending novel ini yang tidak berapa kuat. Pengertian 'Sunan Musafir' yang dinyatakan itu tidak ditonjolkan dengan lengkap. Pembaca mungkin faham akan maksud 'Sunan Musafir' tetapi tidak nampak di mana perlaksanaan untuk mencapai ke tahap itu. Tetapi saya masih berpuas hati dengan elemen-elemen triller yang ditonjolkan oleh Ramlee Awang Murshid.







mood: Ramlee Awang Murshid is my favourite tau!

20120706

Sayup dari bawah

Mata kabur pada kebenaran yang hak,
Terkabur oleh beribu ilusi yang kau pasak.
Ibarat terkurung dalam satu dimensi,
dimensi yang kau sendiri cipta konsep dan isinya.
Membabi buta memekik taat setia,
walhal kebenaran dihijab dengan dusta semata.
Satu suara cuba meningkah,
satu kuasa pula menyergah.
Akhirnya yang di bawah menyembunyikan diri,
yang di atas semakin tinggi.

-Cangkul Emas, 2012










mood: dalam benak bertanya, sampai bila penindasan akan terus berlaku?

20120704

Alam sebelah sana

Aku nampak satu pintu. Pintu ke alam sebelah sana. Alam yang lebih banyak labah-labah pembunuh berbanding alam sebelah sini. Hanya perlu pulas tombol, buka pintu, dan melangkahkan diri. Lompat pun boleh. Niat hati memang nak lari laju-laju macam Roadrunner dan masuk ke dalam pintu itu dengan gaya yang penuh dramatik. Terdetik beberapa peringatan buat aku.

Aku kena ingat yang orang di alam sebelah sana tidak menerima sekonyong-konyongnya adat dari alam sebelah sini. Tidak sama sekali. Mereka memandang adat orang sebelah sini sebagai tidak logik dan idea orang di alam sebelah sini selalu ditolak ke tepi. Ramai juga orang sebelah sini yang berhirah ke sana berkata akan rapatkan jurang ini namun sampainya mereka di alam sebelah sana, janji itu bertukar jadi tahi busuk haram jadah yang terperap di loji kumbahan.

Aku bertekad nak ubah persepsi ini pabila sampai di alam sebelah sana kelak. Aku sudah bersedia. Kegarisan, sedia, mula!
Pintu itu aku buka seluas-luasnya.

Ah, cahaya putih yang terang-benderangnya tahap moksya memaksa aku menutup mata. Bunyi berdesing mengganggu telinga dan otak aku. Terasa bergegar otak. Walau mata ditutup, tetap nampak jua sasi baki cahaya itu, menembusi kelopak mata, sedikit merah.

Aku buka mata sikit-sikit. Masih ngilu rasa mata macam dicucuk-cucuk. Tapi aku paksa juga bukak. Tidak sabar rasanya hendak lihat alam yang baru pertama kali aku masuk ni. Wah, mulut aku terlopong macam Scream. Alam ini sungguh indah, penuh dengan hiburan dan kebebasan. Ah, aku tidak akan dibelenggu lagi seperti di alam sebelum ini. Janji aku untuk orang alam sebelah sana? Pergi mampus dengan mereka, aku sudah masuk alam baru.

"Kita mudah lupa pabila melalui fasa hidup yang baru 
dan mengejut budayanya"
-Cangkul Emas, 2012


mood: nak try tulis cerita surreal sambil tonton masterpiece Jan Svankmajer.