20131016

Aku, Cerut dan Pilihan.

Hidup ini subjektif. Tiada kata yang mampu menceritakan apa sebenarnya satu 'kehidupan'. Kadang, apa yang nampak dari zahir itu bebas, tanpa kita sedari ia adalah boneka semata. Kadang, apa yang kita nampak dari zahir itu bahagia, hati di dalam mengalir darah duka. Tiada siapa yang mampu merungkai maksud sebenar kisah hidup seseorang. Biarlah terkenal mana orang itu walaupun seperti Arwah Michael Jackson, masih ada sisi kehidupan seorang homosapien itu yang tidak terjangkau oleh homosapien lain.

Berbekalkan sebatang cerut jenama Vigiller Premium No.1 yang tembakaunya dipotong halus dari Sumatera dan boleh didapati di 7 Eleven berhampiran rumah anda, aku mula fikir tentang kehidupan.

Bagi aku minum sesisip kopi dulu. Aku nyalakan hujung cerut itu sambil sedut sedikit demi sedikit. Ahh, rasa tembakau asli. Aku hembus kembali.


Dari awal kehidupan, manusia dilahirkan bukan sebagai satu pilihan. Ye, untuk menlahirkan seorang manusia, ia memerlukan kehendak dan pilihan, tetapi untuk menjadi seorang manusia, bukanlah satu pilihan kita. Ia adalah menjadi pilihan Tuhan yang satu. Bukanlah juga pilihan kita untuk menjadi manusia yang bagaimana. Kita tak boleh pilih sesuka hati muka macam mana kita hendakkan, rambut macam mana kita hendakkan, atau warna mata apa yang kita hendakkan. Bukanlah jadi nature seorang manusia untuk kita membuat pilihan sejak dari kecil.

Semakin kita melangkau tumbesaran, kita diajar sedikit demi sedikit untuk membuat pilihan. Kita diajar untuk membuat pilihan yang bijak kerana ia mempengaruhi plot kisah kehidupan kita pada masa akan datang. Kita dididik yang setiap pilihan ada implikasinya, bahananya, manisnya mahupun pahitnya. Orang akan berkata, si polan jadi macam ni sebab buat pilihan yang macam ni. Pilihan kita menjadi penyebab utama penamat kisah kita. Dalam membuat pilihan, kadangkala kita diajar untuk bersikap stereotaip tentang sesuatu.

"Oh, jangan pilih untuk belajar kat Sekolah Cina, nanti kau kena pijak dengan orang Cina."
"Oh, jangan percaya dengan India dengan Cina sebab sebaik-baik diorang adalah sejahat-jahat Melayu."
Bullshit.

Tanpa kita sedar, manusia semakin galak memilih-milih setiap benda dalam ruangan mereka. Sampai satu tahap kita akan menjadi buta dengan pilihan sehingga nafsu prejudis semakin menguasai hati. Kita mula prejudis dalam  memilih setiap perkara. 

"Ish, taknak kawan dengan orang cacat."
"Ish, taknak aku kawan dengan orang bodoh."
"Kau tak hensem? Jangan harap aku nak kawan dengan kau."
"Tak kuasa aku nak hormat orang miskin."

Buta. Kita hanya nampak apa pada zahir tanpa selidik apa yang disebaliknya. Tak mengenal lantas terus diberi hukuman. Kita lupa yang kehidupan manusia pada asalnya bukanlah satu pilihan. Kita memilih dengan siapa kita patut berbual. Dengan siapa kita boleh berkawan. Dengan siapa patut kita hormat.

Cerut dah nak habis.

Manusia hakikatnya tak suka menjadi salah satu pilihan. Human don't like to be an option.
Aku terfikir yang 'pilihan' itu juga boleh menjadi satu pilihan. Dan aku memilih untuk tidak membuat pilihan dalam perkara yang sepatutnya tidak dipilih. Aku hormat warga Bangladesh atau Nepal yang sering diprejudiskan apabila bekerja di negara aku kerana mereka juga manusia. Aku berkawan dengan semua orang tanpa stereotaip kaum, bangsa atau warna kulit. Aku cuma berharap, perkataan 'prejudis' itu akan lari dari hati manusia satu hari nanti. Aku juga selalu merasa 'prejudis' itu pabila manusia lain disuruh membuat piihan. 

Cerut dah sampai penghujung. Tekak rasa mual. Aku pilih untuk cucuh dalam botol Prego yang dijadikan astray.







Oh, I'm back. Juga satu pilihan.

20130620

Rama-Rama bukan Seekor.

Aku mungkin pernah bercerita tentang seekor rama-rama yang sangat cantik dan sangat indah dipandang mata, yang mana aku terserempak dengannya di sebuah taman. Aku juga bercerita tentang bagaimana aku bersungguh cuba mendapatkan ia pada masa itu tapi berakhir dengan kekecewaan apabila rama-rama itu tidak mengendahkan langsung niat aku untuk mempertuankannya. Ye aku kecewa. Aku kecewa tapi masih mampu berjalan di sisi taman itu berhari-hari hanya untuk melihat rama-rama itu terus-berterusan menari-nari dengan sayapnya sambil disambut lembut hembus bayu. Aku masih 'dibenarkan' untuk menyaksikan keindahan kuasa Tuhan dalam menjadikan alam ini lebih nilai estetikanya untuk didiami memandangkan dunia semakin nazak dengan pollusi hitam berasal dari corong asap tinggi bertopengkan nama 'modenisasi'.

Ada juga kadang-kadang aku melihat satu dua homosapien seperti aku berkunjung ke taman itu untuk memikat rama-rama tersebut tapi seperti aku, mereka juga tak mampu merangka sangkar terbaik untuk rama-rama itu terbuka hati untuk mendiaminya. Senyum, dan gelak sahaja yang mampu aku sedekahkan pada mereka. Hahaha. Aku gelak kerana tak dapat berfikir apa yang rama-rama ini nak sedangkan semanis-manis bunga yang cuba dijadikan umpan pun, tidak mampu membuat rama-rama ini sasau.

Jadi aku berfikir, rama-rama ini memang kuat sayapnya. Tiada satu pemikat pun yang berjaya, itu yang aku rasa, harap-harapnya. Lalu aku hilangkan keinginan aku untuk memikat rama-rama itu. Dan usaha itu sudah pun berjaya aku laksanakan semenjak beberapa bulan yang lalu atas kesedaran diri yang diletakkan melebihi tahap maksima. Namun begitu, aku masih lalu di taman yang sama setiap hari, tanpa keinginan retorik seperti dulu. Aku cuma memandang ia dan berharap kelak suatu masa ia akan berjumpa pemikatnya yang ditakdirkan. Kerana dia sebaik-baik rama-rama yang pernah aku jumpa.

Cerita aku tidak berakhir di sini. Dalam suatu perjalanan ke suatu destinasi, aku telah mengambil keputusan untuk menyusuri suatu jalan yang bakal melalui satu taman yang pernah suatu ketika dahulu menjadi jalan utama aku. Tanpa sebarang niat, aku hanya ingin melihat panorama di situ kembali. Sedang aku menyusur di tepian bunga-bunga orked yang indah, seekor rama-rama hinggap di bahuku. Aku lihat rama-rama itu tapi sekejap sahaja disinggahnya, dia terbang kembali meliuk-liuk di keliling aku. Dari segi corak kepaknya, dan cara terbangnya, aku kenal. Rama-rama ini pernah singgah dalam hidup aku di suatu masa dahulu, ketika taman ini menjadi jalan utama aku. Dia pernah menjadi rama-rama kesayangan aku tapi atas kehendaknya sendiri, aku lepaskan ia kembali ke taman ini dan mencari jalan lain sebagai jalan utama hanya kerana tidak mahu sedih mengenang memori antara aku dan rama-rama ini.

Dia meliuk-liukkan sayapnya seakan-akan menghantar satu isyarat non-verbal kepada aku. Lupa pula aku hendak baca buku 'Isyarat Rama-Rama Untuk Dummies' tapi aku dapat rasakan sesuatu. Dia tidak gembira dengan tuan lamanya, ya ini selepas aku. Dia boleh terbang tapi tidak tinggi. Aku cuba meniup-meniup rama-rama itu dari posisi aku untuk membantunya terbang kembali. Terbang tinggi seperti dulu dan ini tidaklah boleh disiapkan dlam masa satu hari. Hari ke hari aku berterusan ke taman itu untuk memberi bantuan angin supaya rama-rama ini terbang kembali. Dan keadaannya semakin pulih. Rama-rama itu kini sudah boleh berterbangan di sekeliling aku setiap kali aku melawatnya di taman itu. Aku gembira. Rama-rama itu seakan ingin menjadikan aku tuannya kembali.

Dalam masa ini baru aku terfikir. Tuhan ada ketentuan yang ditetapkannya. Dulu, aku hendakkan rama-rama di taman sebelah sana tapi tidak berjaya dan Tuhan membuka hati aku untuk menyusuri jalan bersebelahan taman lama ini hanya untuk bertemu dengan rama-rama yang pernah menjadi teman aku. Aku lebih asyik bergurau senda dengan rama-rama ini kerana dia barangkali lebih mengenali siapa aku. Ia lebih baik dari aku berharap pada benda yang tak pasti, kan?

Aku senyum. Baru kini aku percaya, rama-rama bukanlah seekor. Rama-rama, sudikah awak menjadi milik saya kembali?

Ye, rama-rama ini lebih kenal akan diri aku.

20130511

Hentian ke dua puluh, di terowong itu.

Terowong itu aku lalu,
Berjalan dengan derapan kaki aku,
Bunyinya bertalu-talu,
Kadangkala sakit telinga mendengar,
Kadangkala merdu menjadi penawar

Terowong itu aku lalu,
Perjalanan yang penuh dengan perhentian,
Perhentian yang menggembirakan,
Perhentian yang mendukakan,
Perhentian yang menjadi kenangan.

Terowong itu aku lalu,
Dengan himpunan wajah-wajah di setiap dinding batu,
Menjadi hiasan terowong itu,
Yang berbatu-batu menuju,
Satu ruang tiada terbatas waktu.

Terowong itu aku lalu,
Kini aku baru dua puluh batu,
Tidak aku tahu sampai bila akan aku,
Terus meniti terowong itu,
Moga yang indah akan terus bersamaku,
Sehingga ke hujung terowong itu.


Meniti dan terus meniti ke destinasi yang tidak ku ketahu. -ihsan gambar pak gugel.

20130214

Mereka yang gila bersatu.

Mempersembahkan himpunan bloggers yang semuanya berkenalan kat UiTM Kuantan masa 2011 dulu. Diorang ni semua gila-gila. Memang pure punye gila. Ada gua, ada Mermaid Jadian, ada Venhell, ada Johan Radzi, ada Azazil, dan berlambak lagi pesakit mental dalam team ni. Diorang ni semua mental sebab segala benda yang berlaku di dunia ni melangkau dek akal yang waras.

Gila Pena - ini mereka.


Support geng baru ni beb. Baru nak bertapak merembeskan ide-ide dan menjadi pemikir dalam dunia yang membuatkan kita semakin gila ni. Bakal membuatkan golongan-golongan panglima, kuda, macai, biatch, duckface, anti-sarka, dan lain-lain panas punggung.

#P.S. Juga gua nak promote awal-awal yang kolaborasi angkatan mental ni dan beberapa penulis lain akan menghasilkan satu zine yang bertajuk "Catatan Kuantan". Masih dalam pembikinan. Baru nak timba pengalaman.

Chow. Aku gila, korang? Salam 1 Meleis.









mood: babeng, esok result keluar.

20130201

Jagung kecil di padang 'Politik'

Balik rumah masa cuti je, mesti aku ada masalah dengan internet sebab rumah aku tak semudah rumah orang lain yanng dilengkapi dengann Unifi bagai. Kiranya dah dekat sebulan aku cuti, maka lebih kurang waktu itulah aku seperti katak di bawah gelas yang tak tau apa terjadi kat laman maya. Dapat je peluang online, aku tengok ada satu mesej dari KB, member aku kat kampus.

Dia tanya aku nak join sekolah politik atau tak. Ye, sekolah namanya. KB kata dulu dia belajar kat sini jugak pasal politik masa zaman sekolah sains dia dulu. Aku tengok dari gaya dia bercakkap pasal politik, aku rasa sekola tu mesti ada sumbangannya jugak. KB cerita sekolah tu ajar macam-macam. Cara bercakap, cara berpakaian, dan macam-macam lagi. Ok, aku memang minat politik dan cerita dia buat aku teramat jeles memandangkan aku ni bekas student MRSM yang lebih digalakkan untuk menjadi usahawan daripada ahli politik. Teringin jugak aku nak bertentang mata dengan Hishammudin Rais.

Nak dijadikan cerita, benda ni bakal diadakan seminggu awal sebelum cuti semester aku berakhir. Memang dalam rancangan aku nak lepak Shah Alam seminggu awal. Apa yang buat aku lebih teruja adalah benda ni free dan ditaja penuh termasuklah penginapan. Ditaja oleh kerajaan Selangor mungkin.

AKu pun cakap dengan mak abah aku pasal sekolah politik ni. Aku cakap yang aku minat politik dan kena belajar benda ni untuk lebih faham tentang politik. Aku pun taknaklah dipanggil macai kerana berbual dan berhujah tanpa ilmu politik yang kukuh di masa akan datang, seperti mana kebanyakan macai-macai yang ada sekarang. Aku cakaplah yang benda ni free. Juga tajaan kerajaan Selangor mungkin. Mak aku pulak ingat sekolah politik ni salah satu propaganda pembangkang utuk merosakkan minda remaja zaman sekarang. Aku puas terangkan kat mak aku yang benda ni ajak kita untuk sokong mana-mana partisan pun. Kadang-kadang aku stres jugak dengan kebanyakan warga tua yang pandang serong terhadap mahasiswa yang bagi komen atau sokongan pro-pembangkang. Stres stres stres (gaya Gary Running Man)

Aku cuma fikirkan, macam mana remaja yang digelar-gelar sebagai 'pemimpin' masa akan datang boleh memimpin dengan kriteria politik yang sempurna kalau usaha-usaha macam ni, yang tidak dipengaruhi semangat partisan (contohnya BTN), di salah anggap kerana pemikiran orang Melayu kita yang kebanyakannya berlandaskan pemikiran konservatif. Sebagai orang Melayu, cubalah sekali-sekala kita mencuba untuk berfikir secara moden dan lebih terbuka tentang dunia politik daripada terus menyalahkan dan terus memberi sokongan membabi buta hanya kerana hidup kau tak pernah susah sebab ahli-ahli politikus ni. Yang penting, aku teruja dengan sekolah politik ni. Aku anggap diri aku seperti kanak-kanak 6 tahun yang dahagakan ilmu di tadika-tadika berhampiran.







oh ya, mak aku pro-UMNO. keh keh keh.

20130112

Rama-Rama itu hilang dari pandangan,

Aku pernah bercerita tentang rama-rama yang aku kejar dulu. Rama-rama yang begitu memilih tentang penjaganya. Aku juga ceritakan betapa susahnya untuk aku memujuk rama-rama itu ke pangkuan aku. Susah, memang susah.

Setelah sekian lama aku menunggu. Hati aku sudah tak tersabar lagi. Rama-rama itu masih menari dengan kepaknya yang cantik terliuk-liuk mengikut irama. Aku, walau bagaimanapun masih di situ menanti harapan yang takkan pernah datang. Rama-rama itu takkan pernah pandang aku kerana dia begitu istimewa. Dia ibarat puteri di dunia rama-rama. Aku pulak, ishhhhh tak tau nak sifatkan aku ni apa. Aku tekad dalam hati. Aku perlu berundur dari taman ini. Mungkin tuhan nak tunjukkan pada aku yang aku memang susah nak tawan hati rama-rama istimewa ini.

Lalu aku pun pergi, jauh dari taman tempat tinggal puteri rama-rama ini. Mungkin sampai satu masa, ada lagi rama-rama lain yang ingin menjadi teman diri. Belum masa lagi.

Bak kata Ustaz Jawwad, cikgu aku kat maktab dulu,

"Masih Jauh lagi"
-Ustaz Jawwad.

Terbanglah kau. (sumbangan al-Google)







mood: exam dah habes. yabedabedu!