20130620

Rama-Rama bukan Seekor.

Aku mungkin pernah bercerita tentang seekor rama-rama yang sangat cantik dan sangat indah dipandang mata, yang mana aku terserempak dengannya di sebuah taman. Aku juga bercerita tentang bagaimana aku bersungguh cuba mendapatkan ia pada masa itu tapi berakhir dengan kekecewaan apabila rama-rama itu tidak mengendahkan langsung niat aku untuk mempertuankannya. Ye aku kecewa. Aku kecewa tapi masih mampu berjalan di sisi taman itu berhari-hari hanya untuk melihat rama-rama itu terus-berterusan menari-nari dengan sayapnya sambil disambut lembut hembus bayu. Aku masih 'dibenarkan' untuk menyaksikan keindahan kuasa Tuhan dalam menjadikan alam ini lebih nilai estetikanya untuk didiami memandangkan dunia semakin nazak dengan pollusi hitam berasal dari corong asap tinggi bertopengkan nama 'modenisasi'.

Ada juga kadang-kadang aku melihat satu dua homosapien seperti aku berkunjung ke taman itu untuk memikat rama-rama tersebut tapi seperti aku, mereka juga tak mampu merangka sangkar terbaik untuk rama-rama itu terbuka hati untuk mendiaminya. Senyum, dan gelak sahaja yang mampu aku sedekahkan pada mereka. Hahaha. Aku gelak kerana tak dapat berfikir apa yang rama-rama ini nak sedangkan semanis-manis bunga yang cuba dijadikan umpan pun, tidak mampu membuat rama-rama ini sasau.

Jadi aku berfikir, rama-rama ini memang kuat sayapnya. Tiada satu pemikat pun yang berjaya, itu yang aku rasa, harap-harapnya. Lalu aku hilangkan keinginan aku untuk memikat rama-rama itu. Dan usaha itu sudah pun berjaya aku laksanakan semenjak beberapa bulan yang lalu atas kesedaran diri yang diletakkan melebihi tahap maksima. Namun begitu, aku masih lalu di taman yang sama setiap hari, tanpa keinginan retorik seperti dulu. Aku cuma memandang ia dan berharap kelak suatu masa ia akan berjumpa pemikatnya yang ditakdirkan. Kerana dia sebaik-baik rama-rama yang pernah aku jumpa.

Cerita aku tidak berakhir di sini. Dalam suatu perjalanan ke suatu destinasi, aku telah mengambil keputusan untuk menyusuri suatu jalan yang bakal melalui satu taman yang pernah suatu ketika dahulu menjadi jalan utama aku. Tanpa sebarang niat, aku hanya ingin melihat panorama di situ kembali. Sedang aku menyusur di tepian bunga-bunga orked yang indah, seekor rama-rama hinggap di bahuku. Aku lihat rama-rama itu tapi sekejap sahaja disinggahnya, dia terbang kembali meliuk-liuk di keliling aku. Dari segi corak kepaknya, dan cara terbangnya, aku kenal. Rama-rama ini pernah singgah dalam hidup aku di suatu masa dahulu, ketika taman ini menjadi jalan utama aku. Dia pernah menjadi rama-rama kesayangan aku tapi atas kehendaknya sendiri, aku lepaskan ia kembali ke taman ini dan mencari jalan lain sebagai jalan utama hanya kerana tidak mahu sedih mengenang memori antara aku dan rama-rama ini.

Dia meliuk-liukkan sayapnya seakan-akan menghantar satu isyarat non-verbal kepada aku. Lupa pula aku hendak baca buku 'Isyarat Rama-Rama Untuk Dummies' tapi aku dapat rasakan sesuatu. Dia tidak gembira dengan tuan lamanya, ya ini selepas aku. Dia boleh terbang tapi tidak tinggi. Aku cuba meniup-meniup rama-rama itu dari posisi aku untuk membantunya terbang kembali. Terbang tinggi seperti dulu dan ini tidaklah boleh disiapkan dlam masa satu hari. Hari ke hari aku berterusan ke taman itu untuk memberi bantuan angin supaya rama-rama ini terbang kembali. Dan keadaannya semakin pulih. Rama-rama itu kini sudah boleh berterbangan di sekeliling aku setiap kali aku melawatnya di taman itu. Aku gembira. Rama-rama itu seakan ingin menjadikan aku tuannya kembali.

Dalam masa ini baru aku terfikir. Tuhan ada ketentuan yang ditetapkannya. Dulu, aku hendakkan rama-rama di taman sebelah sana tapi tidak berjaya dan Tuhan membuka hati aku untuk menyusuri jalan bersebelahan taman lama ini hanya untuk bertemu dengan rama-rama yang pernah menjadi teman aku. Aku lebih asyik bergurau senda dengan rama-rama ini kerana dia barangkali lebih mengenali siapa aku. Ia lebih baik dari aku berharap pada benda yang tak pasti, kan?

Aku senyum. Baru kini aku percaya, rama-rama bukanlah seekor. Rama-rama, sudikah awak menjadi milik saya kembali?

Ye, rama-rama ini lebih kenal akan diri aku.

No comments:

Post a Comment

Aku dah gali gune cangkul, kau cuma perlu letak benih dan kambus tanah itu.